Friday, May 30, 2014

TINTA PENGETUA


Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Blog merupakan medium pemerolehan maklumat terkini yang dinamik dan berimpak tinggi. Bahan-bahan ilmiah yang tersedia dalam blog yang pelbagai sifatnya dapat dimanfaatkan oleh semua peringkat pelayar internet untuk memperkaya ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu. Dalam bidang pendidikan misalnya, guru juga boleh mengeksploit blog dengan menjadikannya sebagai bahan rujukan, latihan atau satu aktiviti pembelajaran kendiri. Manakala pentadbir sekolah pula boleh mengakses blog untuk memantapkan pengurusan sekolah agar tugasan yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan lebih bersistematik dan berkesan.

Khalayak pelayar boleh mendapatkan maklumat tentang kekuatan dan keistimewaan yang ada pada PSS SMK Palong Dua (F) melalui blog ini. Blog PSS boleh diibaratkan sebagai pusat sehenti, iaitu “one stop center” bagi warga sekolah untuk mendapatkan maklumat khusus tentang PSS, contohnya tentang perkhidmatan yang disediakan, Program NILAM, berita, dan hal-hal yang bersangkutan dengan sumber maklumat dari pelbagai bidang. Dalam blog ini juga disediakan pautan web atau blog agensi-agensi kerajaan dan juga agensi-agensi swasta bagi kemudahan pelayarnya. Kemudahan pautan yang disediakan ini membolehkan para pengguna internet yang tidak tahu di mana hendak melayari web-web tertentu akan memulakan “digerbang” tersebut. Jelasnya, blog juga boleh bertindak sebagai fasilitator kepada kita dalam pengaksesan maklumat.

Mudah-mudahan dengan kewujudan blog PSS sekolah ini akan mendekatkan lagi diri kita dengan perkembangan yang berlaku dalam pengurusan PSS dan hal -hal yang berkaitan dengan pencarian maklumat. Justeru, kami mengalu-alukan sebarang pandangan daripada kalian bagi penambahbaikan blog ini agar portal ini benar-benar dapat berfungsi sebagai halaman perkongsian maklumat.

Sekian,wasallam.


TUAN HJ. MURTAZA BIN HJ. ABU BAKAR